Muhasabah Cinta


Setiap manusia yang berpeluang hidup di muka bumi ini pasti mengalami perasaan cinta.  Manusia memang dilahirkan secara fitrahnya mempunyai perasaan cinta.
Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk anaknya kerana cintanya kepada anak.
Seorang bapa sanggup berkorban harta dan tenaga kerana perasaan cintanya kepada keluarga.
Seorang penuntut sanggup mengharungi susah dan payah kerana cintanya kepada ilmu.
Seorang perwira sanggup berkorban jiwa kerana cintanya kepada tanahair.
Seorang hartawan sanggup berkorban masa dan maruah kerana cintanya kepada harta.
.. dan seorang pencinta kononnya sanggup merentasi lautan berapi lantaran cintanya kepada kekasihnya.
Secara dasarnya, kita sanggup berbuat apa sahaja kerana ingin menjaga dan mengejar cinta.
Ia boleh menjadikan seseorang mulia atau hina.  Ia bisa merubah manusia menjadi lebih baik di sisi Tuhan dan manusia, dan ia  juga bisa menjatuhkan nilai seseorang dari sudut pandangan Tuhan dan manusia.
Sudah lama kita menjalani kehidupan ini, dan sudah banyak kali perkataan 'cinta' kita ungkapkan dan luahkan.
Di kesempatan yang terbatas ini, marilah kita bermuhasabah.  Muhasabah tentang cinta.  Mudah-mudahan muhasabah ini bisa menyedarkan kita semua akan di mana letak duduknya rasa cinta kita?  Di tempat yang sepatutnyakah?  Atau sudah tersasarkah cinta kita selama ini?