Hakikat Cinta Seorang Pencinta

Meningkat umur diperjalanan ini, semakin dewasa pemikiran dan perasaan.  Sungguh, kehadiran cinta menggetarkan jiwa dan rasa.  Tanpa perlu belajar, tidak perlu merujuk nota…
hadirnya tidak di undang, tetap melawat dan mendiam di hati insan. 
Manusia sering menyebut tentang cinta pada hamba-hambaNya.  Ternyata kita sering lupa hakikat cinta sebenar hanya untukNya.  Rindu dan kasih sayang anugerahNya untuk kita belajar mencintaNya melebihi segalanya. 
Allah tidak pernah melarang hambaNya berkasih sayang. Justeru, rasa cinta itu sendiri adalah takdirNya.
Maha Mengetahuinya Dia akan hati hambaNya.  Setiap jiwa memiliki perasaan untuk dicintai dan mencinta, maka Dia menyediakan jalan yang terbaik untuk hambaNya. 
Berkahwinlah keranaNya,  mencintailah keranaNya, bertemu dan berpisah jua keranaNya,hanya untukNya.  Terlalu sayangnya Dia pada hambaNya, sentiasa memberikan kita jalan yg terindah.
Dia mengetahui fitrah yang membalut setiap manusia.  
Cinta nafsu yang memerangkap jiwa remaja, padahal telah Allah memberikan peringatan demi peringatan, namun teruna dan dara terus terbelit dan terkandas dalam cinta yang dianggap indah namun rupanya bersulam nafsu semata-mata. 
“ Cinta yang membuah ranum di dasar hati,
Menciptakan kemanisan pada jiwa setiap insan yang merasa,
Namun tanpa baja..tanpa dijaga,
Akar yang kukuh juga bisa rapuh,
Andai batang yang tebal jua menyembah bumi,
Manakan ranting dan dahan ingin berpaut,
Andaikan bunga yang indah berguguran sblm kembang,
Manakan buah hendak masak memerah”
Pencinta. Bagitulah halnya tentang cinta ini, andai perasaan yang terpendam diresipikan nafsu bukannya iman, rosaklah perasaan, tumbuhnya sekadar mngundang serangga perosak.  Buahnya meranum namun rasanya pahit.  Akhirnya dibiar mati tidak dipeduli.
Sabda Rasulullah saw:“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”Riwayat Al-Bukhari
Jangan menghantar hatimu menuju kehancuran, kerana terlalu cintakan dunia dan manusia, akan memakan jiwa.  Manakan bisa seorang hamba mengharap pada hamba yang lain, sedangkan hamba yang lain jua mengharap pada Pencipta yang satu.
Sekeping hati yang dimiliki setiap jasad ini boleh berubah bila-bila masa sahaja kehendak dan kemahuannya.  Sungguh rapuh. 
Hari ini berbicara cinta, hari esok tiada rasa. Hari ini, berjanji setia..hari esok  tiada suara.  Hari ini dia milikmu, hari ini esok belum tentu.  Siapa kita untuk mengatur sekeping hati, mengatur jalan kaki sendiri ke arah yang benar pun ramai yang tidak pasti. 
Pencinta. Semua orang ingin dicintai, tambahan pula bila dicintai oleh insan yang mereka cintai.  Apabila cinta tidak kesampaian, ramai yang merajuk hati hingga ada insan yang lebih memilih mati hanya kerana disingkir cinta.
  Alangkah ruginya titisan air mata dilepaskan untuk cinta manusia yang hidupnya hanya sementara. 
Sedangkan tidak ramai yang sanggup bergenang air mata menghayati anugerah Dia.  Tidak banyak pula yang mensyukuri nikmatNya. Berapa ramai yang sedar bahawa takdirnya adalah terbaik untuk setiap hambaNya. 
Percayalah bahawasanya Dia lebih mengenali hati hambaNya.  Masakan Allah yang maha Penyayang bersikap zalim.  Dia maha mengetahui segala sesuatu baik yang nyata mahupun tersembunyi.